RUU PSB: Peluang Penduduk Flat Usang Dapat Rumah Lebih Selesa

Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar (RUU PSB) 2025 dilihat sebagai langkah penting kerajaan untuk memperbaiki kualiti hidup rakyat bandar yang telah lama menghuni flat usang dan kediaman lama yang tidak lagi sesuai didiami.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa undang-undang ini bukan bertujuan merampas rumah rakyat, sebaliknya untuk memastikan hak pemilik dilindungi melalui syarat ketat dan pampasan adil.

“Kalau betul 40 tahun rumah itu, 80 peratus mesti setuju dengan syarat yang ketat. Dan kita tetapkan yang 20 peratus itu jangan kita abaikan. Kalau dia ada hak, ada geran, mesti diberi pampasan yang mencukupi,” katanya ketika berucap di Dewan Rakyat.

Beliau turut berkongsi pengalamannya melawat Flat Seri Perlis di Kuala Lumpur, di mana sebuah rumah satu bilik dihuni dua keluarga dengan enam anak. Katanya, inilah realiti yang perlu diubah melalui RUU PSB agar keluarga bandar dapat hidup lebih selesa.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, menjelaskan RUU PSB telah melalui proses libat urus meluas bersama pelbagai pihak.

“RUU ini telah melalui konsultasi yang meluas. Ia bukan rampasan kuasa, tetapi satu hala tuju baharu untuk pembangunan bandar yang lebih inklusif dan mampan,” katanya.

Sokongan kepada RUU ini turut dizahirkan oleh penduduk flat lama. Rahimah Abdul Ghafor, 71, Pengerusi Penduduk Taman Sri Indah di Bukit Jalil berkata, keadaan rumah mereka semakin usang dan penuh risiko.

“Kediaman kami usang dengan pelbagai kerosakan selain ancaman haiwan perosak serta binatang berbisa,” katanya.

Penduduk lain, S. Vijayan, 65, pula berkata, “Rumah sudah teruk. Kenapa ada bantahan (RUU). Ia tiada yang merugikan. Flat tiada lif, saya sendiri tidak boleh duduk di situ sebab kaki sakit akibat kemalangan.”

RUU PSB dilihat mampu menjadi reformasi perumahan bandar terbesar sejak Dasar Ekonomi Baru, sekali gus menjanjikan kehidupan lebih baik, selesa dan bermaruah kepada rakyat.