PAS ‘Dangkal’ Politikan Kes Zara – PKR

KUALA LUMPUR — PKR menyifatkan tindakan PAS yang mempolitikkan kematian remaja, Allahyarhamah Zara Qairina, sebagai langkah “dangkal” dan tidak menghormati perasaan keluarga mangsa.

Ketua Cabang PKR Titiwangsa, Syed Badli Shah Syed Osman berkata, kenyataan Pengarah Jabatan Kajian dan Polisi Lajnah Penerangan PAS Pusat, Nurul Islam Mohamed Yusoff yang menggesa Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail meletakkan jawatan hanyalah usaha menangguk di air keruh.

“Adalah jijik apabila sebuah parti yang mendukung imej Islam memilih untuk mempolitikkan isu kematian yang sepatutnya mendapat pembelaan sewajarnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Syed Badli, Saifuddin segera mengambil tindakan apabila kelemahan dalam siasatan awal dikenal pasti, termasuk menubuhkan pasukan siasatan khas dari Bukit Aman serta mengarahkan proses inkues bagi mengenal pasti punca kematian.

Beliau menegaskan, kelewatan dan kelemahan dalam siasatan awal bukan berpunca daripada menteri, sebaliknya akibat kecuaian pegawai penyiasat. Malah, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sendiri telah mengakui kesilapan itu dan tindakan tatatertib bakal dikenakan terhadap mereka yang terbabit.

“Kenyataan Nurul Islam hanya akan merencatkan usaha membawa pelaku sebenar ke muka pengadilan. PAS sepatutnya menghormati perasaan keluarga Allahyarhamah dan tidak menunggang isu ini untuk kepentingan politik,” ujarnya.

Kes kematian Zara Qairina, 13, mencuri perhatian umum selepas timbul dakwaan kelewatan proses bedah siasat sehingga menimbulkan persoalan mengenai prosedur siasatan pihak berkuasa.