AI Perlu Diurus Teliti, PM Mahu Kementerian Beri Perhatian Serius

PUTRAJAYA — Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa pelaksanaan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) di Malaysia mesti dilakukan secara terancang dengan pemantauan rapi agar tidak menjerumuskan negara ke dalam fasa kegagalan walaupun berbelanja besar dalam transformasi digital.

Menurut Anwar, teknologi hanya mampu memberi nilai tambah jika diurus dengan baik serta disertakan dengan prosedur operasi standard (SOP) yang jelas.

“Ada ketika di mana pengurusannya (AI) itu baik, pengawasannya dan pemantauan itu diteruskan bersama SOP yang jelas, itu nampak ada peningkatan,” katanya ketika berucap di Majlis Perjumpaan Perdana Menteri bersama Warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) bagi bulan Ogos 2025 di Putrajaya, hari ini.

Bagaimanapun, beliau memberi amaran bahawa penggunaan teknologi tanpa penilaian berterusan bukan sahaja gagal membawa kemajuan, malah boleh mengundang kemerosotan.

Anwar turut merujuk laporan McKinsey serta pandangan firma penyelidikan Gartner yang mendapati banyak negara kini berdepan fasa dikenali sebagai trough of disillusionment — keadaan di mana keterujaan terhadap AI tidak seiring dengan hasil sebenar yang diperoleh.

“Ini bahaya. Kita berbelanja besar untuk transformasi digital. Kalau kita tidak kawal, kita hanya akan terpukau dengan konsep, tetapi gagal mencapai matlamat sebenar,” tegas beliau.

Sehubungan itu, Anwar menggesa Kementerian Digital, Kementerian Komunikasi, Ketua-Ketua Setiausaha (KSU) serta seluruh kepimpinan perkhidmatan awam memberi perhatian serius dalam memastikan pelaksanaan AI di Malaysia benar-benar memberi manfaat.

“Kita tidak mahu kegagalan dalam penilaian menyebabkan pembaziran besar dalam pelaburan teknologi negara. AI perlu difahami bukan hanya dari segi potensinya, tetapi juga risikonya jika tidak diurus dengan baik,” katanya lagi.