
PETALING JAYA – Bermula Ogos 2025, semua fasiliti kesihatan swasta termasuk klinik, hospital dan farmasi komuniti di seluruh negara diwajibkan memaparkan harga ubat secara terbuka. Langkah ini selaras dengan usaha kerajaan meningkatkan ketelusan serta melindungi hak pengguna.
Inisiatif ini diperkenalkan melalui Perintah P.U.(A) 141/2025 yang telah mula dikuatkuasakan sejak 1 Mei lalu melalui fasa pendidikan selama tiga bulan. Sepanjang tempoh itu, sebanyak 842 fasiliti telah diperiksa, namun hanya 57 peratus mematuhi keperluan pemaparan harga.
More interested news..
Menurut kenyataan bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), fasa advokasi akan diteruskan dari 1 Ogos hingga 30 September 2025. Sepanjang tempoh ini, fasiliti yang masih belum mematuhi peraturan akan menerima surat peringatan.
Fasa kompaun akan bermula pada Oktober, manakala penguatkuasaan sepenuhnya dijadualkan bermula 1 Januari 2026.
Walaupun terdapat semakan kehakiman difailkan oleh tujuh pertubuhan dan seorang pengamal perubatan swasta, kerajaan menjelaskan bahawa tiada perintah mahkamah dikeluarkan untuk menangguhkan pelaksanaan perintah ini.
“Perintah ini kekal sah dan berkuat kuasa sehingga keputusan mahkamah dimuktamadkan,” jelas kenyataan tersebut.
Langkah ini dilihat sebagai satu pendekatan penting untuk memastikan pengguna lebih maklum dan mampu membuat keputusan yang tepat sebelum mendapatkan rawatan atau membeli ubat, terutamanya dalam keadaan kos sara hidup yang semakin meningkat.











