Kemiskinan tegar di Kedah perlu dinoktahan segera, tegas PM Anwar

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu masalah kemiskinan tegar di Kedah dinoktahkan dalam tempoh dua bulan.

Berucap sempena Majlis Sambutan Aidilfitri Madani di Tasik Darulaman Jitra, di Jitra malam tadi, Anwar berkata tidak munasabah ada kalangan masyarakat tidak cukup makan, pakaian atau perbelanjaan sekolah dengan kemudahan yang ada.

“Nak selesaikan semua masalah kemiskinan akan ambil masa tetapi kemiskinan tegar kita mampu.

“Kita tidak mahu negeri-negeri yang didiami ramai masyarakat Melayu Islam ini masih terdera dengan kesusahan ini,” ujarnya.

Dianggarkan terdapat kira-kira 2,500 keluarga di negeri itu berada dalam kategori miskin tegar.

Anwar berkata, usaha bagi menangani masalah itu akan dilaksana Kerajaan Persekutuan dengan kerjasama kerajaan negeri.

“Sebab itu, saya ucap terima kasih kepada agensi persekutuan yang selaraskan dengan Unit Penyelarasan Pejabat Pembangunan Negeri (ICU), kita dapat kerjasama kerajaan negeri,”tambahnya.

Pada Sabtu Anwar menghadiri Mesyuarat Khas Pembangunan Negeri Kedah yang diadakan di Wisma Darul Aman.

BACA LAGI: Usaha basmi kemiskinan tegar di Kuala Lumpur, Melaka dan Negeri Sembilan berjaya

Sementara itu melalui satu hantaran di laman Facebooknya, selain mahu masalah kemiskinan tegar segera diselesaikan, Anwar turut meminta Timbalan Perdana Menteri meningkatkan penghasilan pelajar-pelajar TVET bagi memenuhi permintaan industri berteknologi tinggi di negeri itu.

Sementara Kementerian Kerja Raya diminta melihat semula keutamaan perancangan pelaksanaan projek-projek infrastruktur mengikut kesesuaian permohonan diperingkat negeri.

“Saya juga bersetuju supaya sebahagian daripada keluasan kawasan yang diwartakan sebagai tanaman padi dikeluarkan bagi memberi ruang kepada potensi pembangunan industri, komersial dan perumahan dilaksana di Kedah, sekali gus melonjakkam hasil negeri.” ujarnya.